Salah satu nota yang ditulis Allahyarham.

IPOH – Seorang pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Rabu lalu sempat menulis nota terakhir kepada ahli keluarganya.

Nota berbunyi, ‘Tolong doa dan terus solat hajat. Abah minta maaf. Jaga diri semua’ itu ditulis sendiri oleh Ahmad Mohamad Tayib, 58, sebelum dia ditidurkan untuk rawatan.

Gambar dua kertas pesanan terakhir Ahmad itu tular di media sosial Facebook selepas dimuat naik anak perempuannya, Syafiqa Humairak, 32, semalam.

Menurut Syafiqa, bapanya itu dikesan positif Covid-19 pada 12 November lalu selepas mengalami demam dan dimasukkan ke HRPB pada hari sama untuk kuarantin dan rawatan sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, semasa di ICU, bapanya yang mempunyai penyakit buah pinggang kronik itu dalam keadaan stabil dan masih boleh bercakap.

“Semasa di ICU abah masih boleh bercakap, kami buat panggilan video dan dia minta maaf. Dia juga minta kami untuk buat solat hajat agar semua selamat.

“Bagaimanapun pada Isnin lalu, doktor beritahu yang abah akan ditidurkan. Sebelum proses itu kami sekali lagi buat panggilan video dengannya.

“Dia mahu bercakap seperti ingin memberikan pesanan kepada kami namun tidak boleh kerana telah dipasangkan mesin. Nota itu ditulisnya sendiri sebelum dia ditidurkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut anak sulung itu, kertas mengandungi pesanan itu tidak diberikan pihak hospital kepadanya untuk disimpan kerana bimbang mengandungi virus Covid-19.

Katanya, dia berasa sedih dan sebak apabila mengenangkan hasrat bapanya itu yang mahu kembali sembuh dan bersama keluarga semula tidak kesampaian.

Bagaimanapun katanya, mereka sekeluarga bersyukur dapat menatap saat-saat terakhir lelaki itu meskipun menerusi panggilan video sebelum dia menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.25 malam, Rabu lalu.

“Kami melihat abah sehingga dia tiada. Doktor pun minta kami bercakap dengan abah, walaupun dia tidak sedar tetapi kami yakin dia dengar kami minta maaf.

“Saya hargai peluang yang diberikan oleh pihak hospital. Walaupun kami sekeluarga tidak berada di sisinya disaat akhir namun sekurang-kurangnya kami dapat menatapnya,” katanya.

Syafiqah berkata, selain bapanya, enam ahli keluarga lain termasuk ibu dan anak saudara lelaki berusia sebulan juga dikesan positif Covid-19 dan menjalani kuarantin di hospital sama. – K! ONLINE



Source link